Sebut sahaja Australia, apa yang anda bayangkan? Pantai? Kanggaru? Koala? Di pulau terbesar yang terletak di antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi ini anda dapat melihat pelbagai tarikan alam semulajadi yang sangat indah!

Jika anda mempunyai perancangan untuk explore apa yang ada di negara ini, boleh tengok 10 list tempat menarik di Perth, Australia dan masukkan semua tempat ini dalam itinerari anda ya!

Elizabeth Quay
Di sini anda boleh menaiki Segway, feri dan gondola yang disediakan. Jika anda inginkan aktiviti yang tidak mengeluarkan duit, boleh juga jalan-jalan melihat pemandangan di sekitar sungai dan tangkap gambar di jambatan dengan latar belakang yang begitu cantik.

Aquarium of Western Australia
Jika anda mempunyai minat untuk ‘menyelam’, boleh bawa keluarga untuk melawat Aquarium of Western Australia ini. Anda akan mendapat pengalaman seperti berada di dalam air laut. Di sini juga terdapat lebih 4,000 ikan dan kesemuanya terdiri daripada 400 spesis yang berbeza.

Hillarys Boat Harbour
Hillarys Boat Harbour adalah lokasi pilihan ramai orang untuk beraktiviti bersama keluarga. Di sinilah juga terletaknya AQWA ataupun The Aquarium of Western Australia yang menempatkan pelbagai hidupan laut yang terdapat di lautan Western Australia.

Antara tarikan lain yang terdapat di Hillarys Boat Harbour adalah penerbangan helicopter, menaiki kapal layar atau bot, memancing, bermain gelongsor air, menyelam skuba dan banyak lagi! Tak kisahlah berapa pun usia anda, ada sahaja aktiviti yang sesuai untuk dibuat di sini.

Fraser Avenue Lookout
Terletak di Kings Park, di kawasan pemerhatian Fraser Avenue Lookout anda dapat melihat pemandangan indah kota metropolitan Perth, tak kisahlah anda nak datang siang atau malam, pemandangan dari sini sukar untuk dilupakan keindahannya.

Bukan senang tau nak dapatkan pemandangan seindah dan seluas yang dapat dilihat dari Fraser Avenue Lookout ini!

Scarborough Beach

Macam susah nak percaya yang Scarborough Beach ini adalah kawasan pantai yang terkenal dan dilawati ramai orang oleh kerana tahap kebersihan kawasan persekitaran pantai ini yang sangat bersih.

Di kawasan tanah lapang dilindungi pokok rendang berdekatan pesisir pantai ini, anda sekeluarga boleh berkelah sambil menikmati bayu laut.

Untuk pengetahuan anda juga, berdekatan dengan pantai ini terdapat sebuah gym, kalau anda rasa nak bersenam sambil menikmati pemandangan pantai yang indah ini, jangan lupa untuk ke sini.

The Pinnacles
Sekitar 3 jam perjalanan dari bandar Perth, anda akan sampai ke kawasan padang pasir The Pinnacles yang mana terdapat banyak batuan besar yang unik untuk anda jadikan subjek atau latar belakang foto. Kalau anda bernasib baik, mungkin anda dapat bertembung dengan kanggaru yang menjadikan kawasan ini habitat mereka.

Sekiranya anda ke sini pada musim panas, lebih baik untuk anda datang pada awal pagi atau lewat petang untuk mengelakkan sinaran mentari yang terik. Tapi musim yang paling best untuk ke sini adalah antara bulan Ogos ke Oktober iaitu pada musim bunga untuk melihat tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sini hidup mekar.

Penguin Island
Masa perjalanan untuk ke Penguin Island adalah 45 minit dari Perth. Anda dapat melihat singa laut, ikan lumba-lumba di sekitar perairan. Ketika di sana, anda berpeluang untuk mendekati dengan penguin-penguin yang sangat comel dan terkecil di dunia! Seronoknya!

The Bell Tower
Salah satu tarikan yang unik dan mesti anda lawati di Perth. The Bell Tower bukan sahaja sebuah bangunan tapi ia juga merupakan instrumen muzik yang terbesar di dunia dengan ketinggian 82.5 meter.

Di menara ini terdapat 12 buah loceng yang didatangkan dari sebuah gereja terkenal di London yang dikatakan telah wujud sejak abad ke-14 lagi. Sekiranya anda naik ke dek pemerhatian menara ini, anda dapat melihat pemandangan 360 darjah sekitar Perth dan Swan River.

Adventure World
Adventure World adalah satu-satunya taman tema yang boleh anda temui di Perth. Walaupun hanya satu, rasanya susah nak mengalahkan Adventure World Perth kalau ada banyak lagi taman tema yang lain.

Dengan lebih daripada 25 tarikan untuk anda cuba, memang rugi kalau anda datang ke sini pada lewat petang takut tak sempat nak rasa kesemuanya, jadi, rancanglah perjalanan anda ke sini di awal pagi.

Kings Park
Sejukkan mata anda dengan panorama memukau hati bandar Perth dan Swan River dari Kings Park. Kings Park ini bukan taman biasa, boleh dikatakan inilah raja segala taman sebab cukup lengkap dengan pelbagai tarikan menarik yang diidamkan sewaktu bersiar-siar.

Ia juga merupakan taman di dalam kawasan bandar yang terbesar di dunia. Anda boleh menaiki DNA Tower yang terletak di sini untuk menikmati pemandangan sekitar yang sangat mempesonakan.

Bukan sahaja pemandangan yang indah, Kings Park ini turut kaya dengan flora dan fauna termasuklah sebatang pokok yang sudah berusia 750 tahun. Sambil berjalan-jalan di sekitar taman ini juga, anda sekeluarga dapat mendengar bunyi kicipan lebih daripada 70 jenis burung yang terdapat di sini.

Sumber: Kembara Sufi