Tidak kisah lah sama ada anda melancong di dalam atau luar negara, asalkan namanya “melancong” anda harus siapkan satu senarai berkenaan aktiviti yang ingin anda lakukan sewaktu berada di destinasi percutian anda itu.

Kita pergi bercuti bukan hanya sekadar untuk menikmati pemandangan indah atau berehat sakan, malah sebenarnya terdapat banyak lagi perkara bermanfaat lain yang bisa anda lakukan!

Ianya akan jadi lebih menarik jika anda melancong secara solo, bahkan anda pasti tidak akan lupakan pengalaman menarik sewaktu berada di tempat orang jika anda melaksanakan cadangan aktiviti yang Wanista sediakan ini!

Jom penulis kongsikan bersama dengan anda!

Berinteraksi Bersama Masyarakat Tempatan

Tidak salah untuk beramah-mesra dengan orang tempatan yang berada di destinasi percutian anda itu. Mesti anda akan mendapat informasi yang lebih mendalam berkenaan tempat istimewa yang anda kunjungi itu.

Adalah lebih baik jika anda “mengorek rahsia” berkenaan tempat menarik yang ada di situ daripada penduduk setempat daripada mempercayai bulat-bulat berdasarkan perbualan orang lain. Betul tak? Sekurang-kurangnya mereka lebih mengetahui daripada rakan-rakan anda yang membuka cerita itu!

Jika anda tidak pasti bagaimana untuk memulakan perbualan, tatkala anda sedang menikmati minum petang di sebuah gerai atau kafe berdekatan tempat penginapan anda, anda bolehlah sekadar mengucapkan kata selamat “hi” pada oarng yang duduk berdekatan dengan anda. Mana tahu, dari situ timbul pula minat untuk anda dan individu berkenaan untuk berbual lanjut.

Pasti banyak cerita menarik yang seterusnya menimbulkan minat rakan baru anda itu untuk membawa anda bersiar-siar di sekitar kawasan kunjungan anda itu! Beruntunglah, anda kini mendapat khidmat pemandu pelancong secara percuma!

○ Meneroka Keajaiban

Alahai bosannya jika anda menghabiskan banyak masa hanya untuk terperap di rumah penginapan atau hanya pergi melawat tempat-tempat tumpuan pelancong yang popular sahaja.
Jadi, apa kata anda ambil masa ini untuk meneroka keajaiban alam secara buta-buta! Buta-buta disini bukan lah bermaksud anda menuju ke sesuatu tempat tanpa arah, tetapi penulis ingin menggalakkan anda untuk bersiar-siar disekitar kawasan yang berdekatan agar anda dapat membuka mata dan minda anda.

Mana tahu, jika anda berpeluang untuk sampai ke tempat yang lebih menarik, seperti kawasan gunung-ganang yang indah mahupun, anak sungai yang dikelilingi alam flora dan fauna -tersorok di ceruk-ceruk yang belum pernah diterokai orang lain. Tetapi, bawalah kompas, telefon bimbit dan peta bersama, jangan hingga sesat pula! Lakukan sedikit kajian sebelum anda meneruskan perjalanan.

○ Gunakan Pengangkutan Awam

Tiada jalan yang lebih mudah melainkan anda memanfaatkan pengangkutan awam. Lebih-lebih lagi jika anda mahu melihat-lihat keadaan pekan atau bandar tempat berkenaan. Bus terutamanya, akan membawa anda pusing keliling bandar yang membolehkan anda melihat kawasan kejiranan dengan lebih jelas. 

Peringatan yang sama, jangan lupa untuk membawa semua keperluan penting dan peta bersama!

○ Beli Tanda Mata Dari Kedai Hadiah

Klise sungguh jika anda merancang hanya untuk membeli magnet peti sejuk ataupun rantai kunci sebagai tanda kenangan.

Kali ini, anda ambil masa untuk relaks. Manfaatkan masa yang ada untuk perlahan-lahan meneliti satu-persatu barangan cenderamata yang dijual di kedai-kedai kraf mahupun kedai menjual barangan antik yang terdapat di kawasan kunjungan anda.

Cari dan pilih sesuatu yang punyai nilai pada diri anda. Inilah masanya untuk anda menghadiahkan diri dengan sesuatu yang paling berharga!

○ Nukilkan Tulisan Berkenaan Lawatan Anda

Tulislah diari dan ambil gambar yang bisa menunjukkan jalan cerita tentang hari lawatan anda. Bukan senang untuk anda mengumpul dana hingga membolehkan anda sampai ke destinasi percutian indah.

Oleh itu, jangan biarkan memori anda berlalu begitu sahaja. Nukilkanlah ia di dalam diari, bahkan sertakan tulisan anda dengan foto dan imej-imej yang berlatarkan pemandangan indah atau tempat menarik kunjungan anda sebagai penerangan kepada jalan cerita. 

Sebenarnya, menulis diari dan mengambil foto menggunakan kamera bisa memberi impak yang lebih positif kepada diri daripada mengambil gambar menggunakan telefon pintar dan terus kongsikannya di Instagram. Ingat! Abaikan semua akaun media sosial anda tatkala sedang berada dalam mod melancong. Barulah berbaloi!

○ Makan Di Tempat Yang Disyorkan Kepada Anda

Sebelum anda melancong, cuba kaji di manakah tempat yang menarik untuk mendapatkan hidangan makanan hebat! Google kan ada… Dari situ, anda bolehlah senaraikan pilihan kedai makan atau restoran yang terbaik.

Anda mungkin juga boleh bertanya pendapat daripada orang tempatan. Mereka lebih arif!

○ Belajar Bahasa Tempatan

Sebelum melancong, belajar lah sedikit asas bahasa tempatan yang ringkas. Antaranya, cara untuk bertanyakan arah, cara untuk menjalankan aktiviti jual-beli atau bagaimana cara untuk mengucapkan kata selamat seperti “Selamat pagi” atau “Terima kasih”.

Jika anda tidak sempat untuk belajar sendiri, beli dan bawalah kamus poket bersama ke mana pun anda pergi. Sesungguhnya, orang tempatan pasti tertambat dan menghargai usaha anda untuk berkomunikasi dalam bahasa mereka -walaupun anda pelat! hehe

○ Terokai Kawasan Kejiranan

Ayuh kenali tempat yang banyak menyimpan sejarah asal-usul kawasan kunjungan anda itu dengan mengunjungi kawasan kejiranan mereka yang pasti kaya dengan pelbagai budaya dan adat resam.

Anda boleh berjalan kaki mahupun menunggang basikal mengelilingi pekan dan bandar lama berdekatan. Janganlah pula anda terlalu tergesa mengejar masa. Sudah penulis katakan tadi, ambil masa untuk relaks dan menghargai apa sahaja yang berada di sekeliling anda, walaupun anda perlu menghabiskan masa sehari suntuk.

Pasti seronok jika anda dapat menikmati dan berlagak seperti orang tempatan yang telah lama tinggal di situ.

○ Kunjungi Bandar

Lazimnya, pekan dan kawasan bandar akan mula bernyawa ketika waktu malam.

Jika anda ingin melihat situasi sebenar yang lebih memukau, kunjungi kawasan pekan atau bandar berdekatan tatkala bulan dan bintang mula menyerikan hening malam, sambil ditemani cahaya neon yang menerangi jalan-jalan kaki lima bandar lama.

Alunan muzik yang datangnya daripada deretan bar dan kafe klasik pasti buat anda terhibur. Buat anda yang masih bujang, jangan lupa untuk mengenakan pakaian yang cantik-cantik juga okay! Mana tahu jika anda bisa bertemu jodoh anda tanpa diduga 🙂

○ Cabar Diri Anda

Makan makanan baru. Cuba sesuatu yang buat anda takut. Keluar daripada zon selesa anda. Pergi terokai dunia luar sehingga anda kecapi sesuatu yang menarik tanpa diduga! CABAR DIRI ANDA!

Jika sebelum ini anda tidak berpeluang untuk melakukan perkara yang anda impikan. GO! This is the time! Kalau anda tanya penulis, penulis ingin berdiri di tebing puncak gunung tertinggi dan menjerit sekuat hati… sambil menghirup udara segar, mata pula menikmati kecantikan alam semula jadi yang tiada tolok bandingnya. 

Semoga pengalaman melancong anda lebih menyeronokkan dengan adanya panduan berguna ini!

Sumber: Diva